Hijrah 1430..
Hijrah adalah bermaksud perpindahan, perjuangan atau perubahan dari satu keadaan kepada satu keadaan yang berbeza. Dalam konteks sejarah Rasulullah, baginda berhijrah berpandukan wahyu dari Allah SWT. Penghijrahan baginda dari Mekah ke Madinah adalah satu titik permulaan kepada perubahan besar tamadun manusia dan alam sejagat.
Kesan daripada penghijrahan baginda dan pengikutnya, umat Islam bertambah kuat dan penguasaan empayar Islam juga bertambah luas. Islam mula bertapak dari satu negara ke satu benua. Akhirnya sampai ke benua Asia dan bumi Malaysia.
Dalam konteks Hijrah moden, kita juga boleh menyebutnya sebagai 'anjakan paradigma'. Sebenarnya ia bukanlah hijrah di alaf baru tetapi ia adalah satu bentuk pemikiran sesuai dengan zaman. Malah Islam itu bersifat syumul. Bererti ia sesuai dianuti mengikut keadaan zaman dan tempat. Perubahan tersebut mestilah perubahan yang baik dan mengikut lunas-lunas syarak.
Perlu kita ingat dan sedari bahawa walaupun dinamakan anjakan paradigma, namun ia bukan bermaksud kita bebas melakukan apa sahaja mengikut hati dan perasaan seperti pergaulan bebas dan maksiat. Ia juga bukan bermaksud kita bebas melakukan apa saja perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai moral masyarakat seperti penganiyaan, merampas hak orang lain dan sebagainya. Ini semua adalah bertentangan dengan konsep hijrah Rasulullah dan anjakan paradigma.
Lihat saja apabila tiba tahun baru. Pelbagai masalah sosial berlaku. Gejala seks dilakukan di tempat awam, masalah khalwat antara remaja, anak-anak pulang lewat, malah ada yang tidak pulang langsung ke rumah. Ramai ibubapa yang tidak mengambil peduli pasal aktiviti anak-anak. Akhirnya masalah sosial seperti ini semakin membimbangkan.
Ramai orang apabila tiba awal tahun baharu membuat bermacam-macam azam. Ada yang berazam ingin berjaya, ingin jadi kaya, ingin berumahtangga, ingin jelaskan semua hutang dan lain-lain. Tetapi amat jarang sekali kita dengar orang berazam hendak tingkatkan iman, amalan soleh, hendak mengejar amal akhirat. Mengapa ya??
Adakah kerana ia soal peribadi yang tidak boleh diberitahu orang lain? Ataupun kita memang takut untuk membicarakannya. Takut untuk bercakap soal akhirat. Mengapa ya??
Sabda Rasulullah yang bermaksud : “sebaik-baik azam adalah berazam untuk tingkatkan taqwa kepada Allah”. Tepuklah dada kita dan tanyalah iman kita sendiri.
Sedarkah kita bahawa semakin lama kita hidup umur kita semakin pendek. Lihatlah tahun 2008 berapa ramaikah yang telah dijemput oleh Allah dengan sebab bencana alam, kemalangan mahupun penyakit. Sedarlah kita bahawa hidup cuma sekejap sahaja. Tempat kita menanam dengan segala macam amalan dan kita akan menuainya di akhirat nanti.
Sempena tahun baru masihi dan hijrah yang baru bermula ini, tanamkan azam kita untuk tingkatkan iman dan taqwa kita kepada Allah. Dengan itu maka kita dan keluarga kita akan selamat didunia dan akhirat. Firman Allah :”peliharalah diri kamu dan para pengikutmu (keluarga) dari api nekara”.
Wallahu a`lam...
Monday, January 5, 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)