Saturday, January 10, 2009

Selawat & Selawat.

Selawat Dan Selawat.

Setiap hari kita digalakkan oleh agama untuk berselawat keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Namun apakah kita mengerti mengapakah kita digalakkan berbuat demikian. Dan adakah kita mengetahui tujuan dan faedah selawat ini?

Maksud selawat:
Selawat bermaksud kita berdoa memohon agar Allah melimpahkan rahmat, kemuliaan, dan mengangkat darjat baginda SAW.

Apakah tujuan kita berselawat:
Untuk mematuhi perintah Allah supaya umat Islam berselawat keatas baginda. Firman Allah yang bermaksud :”Sesungguhnya Allah berselawat keatas Rasulullah, wahai orang-orang yang beriman selawatlah kamu keatasnya”.

Kita sedia maklum bahawa kelahiran Rasulullah merupakan rahmat bagi sekelian alam termasuk jugalah manusia, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan sebagainya. Oleh itu sewajarnya kita berselawat tanda kita menghargai rahmat yang Allah telah berikan kepada kita iaitu Rasulullah itu sendiri. Firman Allah:”Tidak kami ciptakan kamu wahai Muhammad kecuali rahmat bagi sekelian alam”.


Sebagai mengenang budi dan jasa Nabi Muhammad yang telah banyak berkorban untuk umat Islam dan manusia seluruhnya. Pengorbanan baginda dan sahabat yang berjuang demi agama Islam, keadilan, berdakwah dan lain-lain. Orang yang mengenang budi adalah ciri-ciri orang beriman.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:”Hidupku adalah kebaikan kepada kamu, dan wafatku juga adalah kebaikan kepada kamu kerana segala amal kamu akan dibentangkan kepadaku. Segala amalmu yang aku dapati baik aku ucapkan Alhamdulillah. Dan segala amal jahatmu akan aku pohonkan keampunan kepada Allah”. Ini menunjukkan betapa baginda kasihkan umatnya. Sewajarnya kita membalas budi dengan berselawat.

Setelah kita baca, adakah kita masih tidak mahu berselawat kepada baginda? Apabila kita mendengar seseorang berselawat maka kita diwajibkan menyahut selawat tersebut. Sabda baginda lagi :”Orang yang paling kedekut adalah orang yang tidak berselawat keatasku apabila mendengar orang lain berselawat”. Jika kita berselawat dengan sekali selawat, maka Allah akan berselawat kepada kita dengan sepuluh kali selawat. Itulah kemurahan Allah SWT.

Kebanyakan imam seperti imam Hambali, Syafie, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa jika seseorang itu meninggalkan selawat ia telah melakukan dosa besar kerana banyak hadis yang menjelaskan tentang amaran meninggalkan selawat. Penulis berpendapat sekurang-kurangnya kita berselawat sepuluh kali sehari. Lagi banyak lagi baik. Maka dapatlah disimpulkan bahawa berselawat itu hukumnya adalah wajib.





Faedah berselawat:
Berganda-ganda rahmat yang Allah akan limpahkan kepada kita. Kita sedia maklum bahawa, yang lebih utama dalam hidup ini adalah rahmat Allah. Rahmat Allah mengatasi pahala kebajikan kita.

Orang yang banyak berselawat akan berada dekat dengan Rasulullah di hari akhirat kelak dan baginda akan memberikan syafaat baginda kepada kita.


Orang yang banyak berselawat maka malaikat akan turut berselawat kepadanya selagi ia terus berselawat.

Allah memberi jaminan barangsiapa yang banyak berselawat maka dia akan terpelihara dan selamat dari kesusahan dunia dan akhirat.


Hati dan jiwa manusia akan tenang apabila berselawat dengan ikhlas setulus hati.

Ilmu tidak berguna jika tidak diamal. Maka amal baik tidak berguna jika tidak dapat membuat kita beriman kepada Allah swt.

BERILMU, BERAMAL, BERIMAN
09/01/09